Pernah tak anda alami perasaan keliru
untuk membuat pilihan?
Tatkala hati anda teguh dengan satu
pilihan, tiba-tiba hadir pula pilihan lain yang membuatkan anda ragu-ragu
dengan keputusan anda.
Hati menjadi bolak-balik. Fikiran pun
menjadi tidak tenang.
Di kiri menyayangi anda, di kanan juga
sama. Ah, pasti keliru untuk membuat pilihan kan?
Pilihan yang datang itu membawa dua
tujuan. Sama ada yang datang itu sebenarnya pilihan yang tepat ataupun yang
datang itu sebenarnya hadir untuk menguji kekuatan anda dan pilihan anda.
Pasti sedikit sebanyak hati kita merasa
goyang kerana ini soal yang sangat besar, kerana separuh dari hidup kita
bergantung kepada pilihan calon hidup yang yang tepat.
Padah membuat pilihan
yang salah!
Jangan sampai tersalah orang dalam
membuat pilihan teman hidup. Berkahwin dengan orang yang salah lebih memeritkan
daripada tidak berkahwin sama sekali.
Kerana seumur hidup waktu kita terbuang
bersama orang yang salah. Orang yang tidak akan dapat bersama kita dalam
mencipta bahagia.
Bagaimana ingin
membuat pilihan yang tepat supaya kita tidak tersalah langkah?
1. Istikharahlah
Beristikharahlah dan mintalah petunjuk
dari Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Mohonlah
pada Allah supaya hati kita dibimbing dan dihalakan pada orang yang betul tepat
buat diri kita.
Petunjuk dari istikharah juga tidak
semestinya berdasarkan mimpi sahaja. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk.
Boleh jadi dalam bentuk ketenangan hati terhadapnya, dimudahkan urusan
dengannya dan sebagainya.
Tapi istikharah juga kadangkala boleh
menyebabkan hati semakin keliru,
2. Dia mampu
membimbing ke jalan yang lebih baik
Pilihlah insan yang mampu membawa anda
menjadi insan yang lebih baik. Pilihlah insan yang mampu menegur anda untuk
kebaikan dan mempunyai pegangan agama.
Jika ketua keluarga tidak mempunyai
pegangan agama, pasti sukar baginya untuk mengemudi bahtera perkahwinan kan?
Sebolehnya, pilihlah yang tidak merokok.
3. Pilihlah
orang yang mampu bersusah – payah dan berkongsi kesenangan bersama kita.
Bak kata orang tua, ‘mencari
teman ketawa itu mudah,tetapi mencari teman menangis itu yang sukar’.
Fikirkan kembali adalah insan yang anda
pilih itu sentiasa berada di sisi anda di saat anda susah mahupun senang.
Jika dia hanya mampu menjadi teman di
kala anda senang, pastinya dia bukanlah pilihan yang terbaik.
4. Dia serius
dalam perhubungan
Setiap hubungan pastinya mempunyai
matlamat. Setiap perhubungan pastinya ingin diakhiri dengan perkahwinan.
Sekiranya dia tidak mempunyai matlamat
yang jelas dan sekadar ingin bermain-main, dia bukanlah pilihan yang terbaik.
5. Dia
mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga anda
Berkahwin bukan sahaja bermakna kita
bersatu dengan orang yang kita kahwini, malah kita juga bersatu dengan
keluarganya.
Jika dia tidak mempunyai hubungan yang
baik dengan keluarga kita terutamanya kedua ibu bapa kita, pastinya sesuatu
hubungan itu akan menjadi sukar tanpa restu keluarga.
Jika dia tidak mempunyai usaha untuk
menambat hati keluarga anda, lebih baik anda berfikir semula tentang pilihan
yang anda lakukan.
6. Rasa tenang
apabila berfikir tentangnya
Apabila mendengar namanya, hati terasa
tenang. Apabila dia bersama anda, anda berasa selesa dan terasa waktu seperti
tidak berjalan.
Ketika memikirkannya, anda pasti akan
tersenyum. Itulah salah satu tanda yang dia adalah pilihan yang tepat.
Yang paling penting, tanyalah hati
kecil anda. Apa yang terdetik di hati anda itulah sebenarnya pilihan anda
kerana hati kita tak pernah menipu.
Buatlah pilihan yang bijak kerana
tersalah mengorak langkah, kita mengkin akan menyesal di kemudian hari.
7. Istisyarah –
meminta pendapat orang lain
Ramai diantara kita yang terlupa
perkara yang satu ini, iaitu Istisyarah. Istisyarah adalah kita meminta
pendapat orang lain.
Sebagai contoh, ibu bapa. Mengumpul
maklumat dan pandangan pada situasi yang sedang kita hadapi. Dalam konteks kita
sekarang, situasi mahu memilih pasangan.
Dengan bertanya mereka yang lebih
berpengalaman seperti ibu bapa dan keluarga, atau yang mereka yang kita yakin
(seperti ustaz), insyaaAllah mereka akan dapat memberikan pencerahan dan
panduan kepada kita dalam membuat pilihan.
Bentangkan pilihan-pilihan yang ada,
dan bincangkan pro dan kontra setiap pilihan. Dari situ kita menilai dan
menimbang.
Penutup
Dalam soal ini, sangat penting untuk
kita memperhalusi pilihan kita.
Saya bukan ingin menakut-nakut anda
tentang perkahwinan, tetapi ada baiknya kita mengambil sedikit masa untuk
membuat pilihan yang terbaik buat diri kita.
Biasanya, sebelum berumah tangga, kebanyakkan kita semua seakan terdesak untuk
segera menikah. Tetapi, setelah berumah tangga, akan terasa hambar kerana semua
keburukan sudah diketahui dan terbuka.
Memang tiada orang yang sempurna,
tetapi kita semua mempunyai hak untuk menentukan siapa yang paling sesuai untuk
kita. Kerana selepas perkahwinan, kita mesti merima setiap apa yang menjadi
kekurangannya, sebagaimana kita menerima setiap kelebihannya.
Oleh itu jangan terlampau terburu-buru,
bertenang dan buatlah keputusan dengan pertimbangan yang sesuai.
Yang paling penting adalah kita
sentiasa menjaga dan memperbaiki diri sendiri dari masa ke semasa. Kerana
lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan lelaki yang jahat adalah untuk
perempuan yang jahat. Itu janji Allah terhadap hambaNya.